Jin, sahabat dan khadam. Serta sihir

Share

Sesungguhnya sihir dan tenunan itu adalah syirikSebenarnya sejak seminggu dua ini aku diserang kesibukan yang entah datang dari mana. Saban waktu yang ada tidak lansung dapat untuk dimenafaatkan untuk menyambung tulisan aku berkenaan dengan dunia jin yang sedang aku usahakan kedalam bentuk artikel. Namun hari ini aku cuba seboleh mungkin untuk menyiapkan sebahagian bab jin ini.

Pada tulisan kali ini aku ingin mengetengahkan perkara yang berkaitan dengan sihir yang berkait rapat dengan jin dan alam ghaib. Mungkin ianya akan bertentangan dengan sesetengah pendapat. Sebenarnya pangkal penghujahan aku adalah pengalaman aku sendiri dan mengikut perspektif dan pemahaman aku. Jadi tidak menjadi soal jika ianya berbeza atau bertentangan dengan pandangan orang lain. Sebelum itu aku ingin memperincikan sedikit latar belakang aku sendiri dalam soal ini. Dan aku harap semua yang aku tuliskan ini akan memberi sedikit menafaat bagi sesiapa saja.

Sejak usia aku dua belas tahun, aku sangat berminat pada keujudan alam ghaib. Aku mencari disetiap percakapan orang dewasa akan cerita-cerita mengenai alam jin, atau bunian. Yang mana diwaktu itu aku tidak mengerti apa-apa. Yang aku fikirkan adalah dunia jin dan bunian itu adalah dua dunia yang sangat berbeza. Tapi sebenarnya tiada bezanya, mereka itu bercampur aduk dalam satu dunia juga. Sedang diantara  golongan yang membeza-bezakan jin dan bunian itu tidak lebihlah dari perbezaan manusia suku kaum cina dan suku kaum india.

Aku juga sangat tertarik, malah obses dengan ilmu-ilmu batin dalam persilatan melayu. Sesuatu yang tidak terjangkau dengan hujah saintifik. Bermula dengan cerita-cerita mengenai kekuatan ghaib yang melampaui akal waras. Dan segala yang berkaitan dengannya. Aku mencar-cari dan menghimpunkan segala macam hikmat berbentuk sedemikian. Pelangkah, pendinding, gores laksemana, bisa tangan, pelimun jebat. Dan ayat-ayat hikmat seperti , kata tiga, ayat satu, ayat lima, ayat tujuh. Mengabungkannya dengan segala macam rahsia-rahsia kejadian alam dan manusia. Disamping itu aku juga menyelidiki yang tersirat disebalik mentera-mentera. Pengenalan mengenai diri dan kejadian yang merujuk kepada sifat-sifat Pencipta. Keujudan alam ghaib itu bukan saja merujuk kepada alam makhluk lain. Tetapi merujuk juga kepada nisbah penzahiran Kudrat Ilahi kepada hambaNya(yang Dia kehendaki).

Kelebihan manusia ini adalah doanya lebih utama dari makhluk-makhluk lain. Katanya adalah titah. Yakni ucapan perintah dari pemerintah yang dilantik Allah sejak dari mula. Dan walau seluruh alam ini menafikan kekhalifahan manusia ini, ianya tidaklah mengubah walau sedikit kenyataan yang menusia ini telah Allah jadikan dengan sebaik-baik kejadian. Dan telah Allah lantik menjadi khalifah di atas muka bumi ini. Dan permintaan manusia itu lebih utama dari yang lain. Jadi perhalusilah setiap permohonan kepada Allah itu, supaya tidak ada diantaranya yang akan berlaku tidak adil kepada orang lain. Kerana mendoakan kecelakaan saudara yang lain itu adalah haram bagi umat islam ini. Dan berikhtiar kearah memudharatkan kesejahteraan saudaranya itu juga adalah ditegah juga.

Didalam pencarian aku yang bertahun-tahun itu aku menjumpai, kesemuanya ini berkait rapat dengan keujudan alam jin tersebut. Yang jin itu bisa menjadi khadam(suruhan) atau sahabat(kawan). Yang mana bila saja seseorang manusia itu hebat dari segi ilmu dan keyakinannya kepada Allah. Maka ini menyebabkan golongan jin yang rendah kedudukannya dikalangan jin-jin yang lain rela untuk berkhidmat kepadanya, demi menumpang berkat orang yang utama pada pendapat mereka. Boleh saja digajikan mengikut persetujuan kedua belah pihak(Manusia dan jin). Mana kala golongan yang sedikit berkedudukan dikalangan jin tersebut memilih untuk kedudukan yang lebih tinggi dari khadam tersebut. Mereka melihat kepandaian dan ilmu mereka tidak jauh kurang dari manusia tersebut, jadi mereka memilih untuk menjadi sahabat kepada manusia itu.

Sebenarnya dalam masalah menjadikan jin itu sebagai khadam(suruhan) ianya tidak lebihlah seperti seorang kontraktor mengajikan segerombolan pekerja dari indon untuk melakukan pekerjaan bagi pihaknya. Tidak menjadi salah apa-apa selagi ianya tidak membabitkan bai’at(perjanjian) yang pelik-pelik atau ritual-ritual yang membawa kepada syirik. Ianya sama juga dalam perumpamaan itu. Mengajikan pekerja indon untuk membuat bangunan atau sebagainya tidak menjadi salah, yang menjadi salah apabila tuannya memerintahkan pekerjanya mencuri dan sebagainya. Bergitu juga dalam soal khadam jin ini tadi. Jenis pekerjaan yang disuruh itulah yang menjadikan perbuat itu salah dan berdosa. Sedang menjadikan jin itu suruhan atau khadam itu tidak menjadi satu perbuatan yang berdosa, tetapi apabila memerintahkan mereka untuk tujuan sihir dan kerosakan itulah yang merubah sesuatu perbuatan yang harus itu menjadi haram. Namun kesilapan orang yang terdahulu tidak melihat jin ini satu makhluk yang boleh dipupuk kefahamannya atau dalam erti kata lain didakwahkan kebaikan, telah membentuk  tembok yang sangat tinggi diantara manusia dan makhluk tersebut. Jadilah manusia ini sebilangan besarnya sangat hairan dan ada juga yang ngeri dengan kehadiran makhluk-makhluk jin ini. Sedangkan mereka itu tidak lebih dari makhluk Allah semata-mata. Yang mana mereka itu juga akan dipertanggung jawabkan pada setiap amalan mereka.

Kenapakah golongan jin ini mahu menjadi sahabat kepada golongan manusia? Sebenarnya ini adalah lahir dari pemikiran golongan jin-jin yang lebih bijak dan terpelajar. Mereka  tahu kedudukan manusia itu lebih utama dari kedudukan mereka disisi Allah. Dan doa-doa serta amalan manusia ini lebih tinggi nilainya dari mereka golongan jin. Dan tidak diturunkan Nabi-Nabi dari kalangan mereka. Dan mereka itu hanya mengerti yang tersurat sahaja didalam Al-Quran itu, sedangkan yang tersiratnya mereka terpaksa datang kepada golongan manusia yang mana Allah memberi mereka kefahaman secara laduni.

Dan dalam soal ini, sama saja dalam memilih dari kalangan manusia itu sendiri untuk dijadikan sahabat. Carilah sahabat yang membawa kita kepada kebaikan dan menjadikan kita lebih hampir kepada Allah. Bukannya sahabat yang mendorong kita menjadi kufur atau sahabat yang menganjurkan pekerjaan syirik kepada Allah. Berhujah sesetengah golongan yang menyatakan bersahabat dengan golongan jin islam itu boleh, sedang dengan jin kafir itu tidak boleh. Jadi suka aku menimbulkan persoalannya bergini. Bagaimana pula kedudukan si Ali yang berkawan baik dengan Si Mutu Samy? Yang si Mutu Samy ini beragama hindu, dalam waktu yang sama dia tidak pernah sama sekali mengajak Ali melakukan sesuatu yang berkaitan dengan agamanya. Persahabatan mereka tidak lebih dari sekadar berbuat baik sesama makhluk dan tolong-menolong adanya seperti aur dengan tebing yang saling bergantungan. Apakah itu menjadikan ‘harus’ itu kepada haram? Jadi dalam soal ini, kefahaman aku adalah bergini. Adanya jin kafir itu sendiri terbahagi kepada dua golongan. Satu golongan adalah kafir agamanya. Yang mana mereka itu beragama kristian, hindu, yahudi, budda dan sebagainya. Sedang satu golongan lagi adalah mereka yang kafir kerana menganut fahaman iblis. Mereka tahu yang Allah itu tuhan yang satu, tetapi mereka menolak kekhalifahan manusia. Dan mereka berdendam dengan golongan manusia itu seperti mana iblis itu berdendam dengan golongan manusia. Suku-kaum mereka ini adalah anak cucu iblis itu sendiri, yang lahir dan dibesarkan dengan idiologi dan fahaman iblis itu. Dan mereka dilengkapi dengan segala pengetahuan mengenai manusia dan alam ini(mana bahagian yang diizinkan oleh Allah sahaja). Jadi inilah golongannya yang tidak boleh sama sekali dibuat sahabat.

Sebenarnya dari mula penulisan ini tadi aku ingin lebih memperincikan dalam bab sihir. Tetapi ianya menjadi sedikit meleret-leret kearah lain, lantaran kerana terpaksa menyentuh sedikit bahagian-bahagian tertentu dari bab jin ini. Supaya mendapat gambaran yang lebih jelas tentang kedudukan jin itu. Dalam hal kita tidak boleh membesar-besarkan jin, atau memuji kebaikannya. Ianya lebih merujuk kepada iblis dan anak cucunya yang berketurunan jin itu. Lebih kepada untuk menjaga akidah umat Islam yang tidak arif dalam memahami dengan sempurna dari hal yang bersangkutan dengan jin itu.

Bersahabat dengan jin:

Sebenarnya lama dahulu golongan jin ini sangat memandang rendah pada persahabatan dengan manusia ini. Bagi mereka jika manusia itu mahu bersahabat dengan mereka pastilah ada sesuatu yang diharapkan oleh manusia ini. Kerana dalam banyak hal kebolehan manusia dan kemampuan mereka sangat terbatas. Manusia tidak mampu mengalihkan pohon-pohon balak yang besar-besar untuk kegunaan mereka. Mereka tidak mampu untuk kesesuatu tempat dalam tempoh waktu yang singkat. Manusia juga tidak mempunyai sistem komunikasi seperti hari ini. Tiada jalan raya, tiada kapal terbang. Dan dalam masalah kehidupan ketika itu, peranan jin sangat diperlukan. Jadi nilai pada persahabat diantara jin dan manusia itu terlihat lebih bernilai kepada pihak manusia itu. Dan manusialah yang mahu bersahabat dengan mereka, sedang kebanyakan dari golongan jin ini sangat jual mahal dan belagak. Tetapi dalam sekelip mata zaman telah berubah. Manusia dengan teknologinya sudah mampu melakukan hampir kesemua pekerjaan tanpa perlu kepada penglibatan golongan jin. Malah lebih menakutkan golongan jin ialah. Teknologi manusia ini sudah sampai kesuatu tahap boleh mengancam makhluk jin itu sendiri. Seperti atom, nuclear dan sebagainya.

Sampailah kita kepada satu zaman yang mana fungsi jin dalam kehidupan manusia hanyalah yang berbentuk rohani sahaja. Sedang yang berbentuk jasmani itu tidak lagi manusia ini bergantung dengan kebolehan jin. Kerana manusia hampir boleh melakukan semua kerja atau keperluan hidup mereka dengan bantuan sains dan teknologi mereka. Dan kedudukan jin disisi manusia sangatlah tergugat. Lantaran itu mereka(jin) yang cetek ilmunya(agama) dan singkat pertimbangan(akal) sangat mudah juga terpengaruh dengan janji-janji tukang-tukang sihir ini. Yang hati-hati mereka(orang yang mengamalkan ilmu kebatinan sesat dengan mentera-mentera dan ritual-ritual yang kurafat)  itu telah hitam dan menjadi tempat bertahtanya iblis dan mereka ini juga sentiasa ditambah-tambah angan-angan indah dari kehendak nafsu shawat oleh syaitan yang direjam.

Dari mereka inilah turunnya perintah-perintah kepada jin(khadam) akan suruhan yang merosakkan. Dan ada juga golongan ini , mereka ini termasuklah dari golongan yang tersebut dibawah ini.

IHAANAH

Kejadian luar biasa yang diberikan kepada seorang pembohong yang mengaku sebagai nabi, seperti yang pernah diberikan kepada Musailamah Al Kadzab. Ia pernah meludah di sebuah sumur dengan harapannya  agar airnya bertambah banyak, tetapi pada kenyataannya airnya mengering, dan ia pernah meludah pada mata seorang yang juling, agar matanya sembuh, tetapi pada kenyataannya mata orang itu menjadi buta.

ISTIDRAJ

Kejadian luar biasa yang diberikan kepada orang fasik yang mengaku sebagai wakil Tuhan dengan mengemukakan berbagai dalil untuk menguatkan kebohongannya. Menurut Ijma’, biasanya seorang yang mengaku sebagai nabi, maka ia tidak akan diberi kejadian luar biasa.

SIHIR

Suatu cara yang dapat menampilkan berbagai perbuatan yang aneh bagi yang tidak mengerti seluk beluknya, tetapi seluk beluknya itu dapat dipelajari. Dan semua ini didalangi oleh iblis dan syaitan. Dengan ritual-ritual yang diada-adakan mengikut bisikan atau kehendak nafsu yang sesat. Dan perantaannya akan keajaiban perbuatan tersebut adalah jin.

SYA’WAZAH

Kejadian luar biasa yang biasa timbul di tangan seseorang, sehingga menimbulkan pesona bagi yang melihatnya meskipun kejadian itu tidak terjadi.

PERBEZAAN ANTARA KARAMAH DAN ISTIDRAJ

Seseorang yang menginginkan sesuatu, kemudian Allah memberinya, maka pemberian itu tidak menunjukkan bahawa orang itu mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah, baik pemberian itu bersifat biasa ataupun tidak. Kemungkinan pemberian itu merupakan anugerah dari Allah, tetapi kemungkinan pula merupakan istidraj, iaitu pemberian sebagai ujian.

Al Istidraj mempunyai beberapa nama atau istilah yang berbagai:

1. Adakalanya seseorang dikabulkan segala permintaannya agar ia makin bertambah ingkar dan sesat dan pada akhirnya ia akan dimatikan dalam keadaan kafir. Hal itu seperti yang disebutkan dalam firman Allah:

“Nanti Kami akan menarik mereka dengan berangsur-angsur (ke arah kebinasaan ) dengan cara yang tidak mereka ketahui”.27

27 Surah Al-Qalam :44

Allah berfirman:

“Dan mereka berbuat tipu daya, maka Allah membalas mereka dengan tipu daya yang serupa dan Dia sebaik-baik yang membuat balasan”29

28 Surah Al-‘Araf: 99

29 Surah Ali ‘Imran: 54

2. Al Kaid artinya tipu daya:

Dalam firman Allah disebutkan:

“Mereka berusaha menipu Allah, padahal Allah yang menipu mereka”30

Allah berfirman: “Mereka akan menipu Allah dan orang-orang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri, tetapi mereka tidak merasakannya”.31

30 Surah An-Nisaa’:142

31 Surah Al-Baqarah: 9

3. Imla’ mempunyai arti memberi tangguh:

Firman Allah: “Dan janganlah orang-orang kafir itu mengira bahawa pemberian tangguh bagi mereka itu memberi kebaikan bagi mereka, tetapi hal itu terjadi agar mereka makin bertambah dosa-dosanya”32

32 Surah Ali ‘Imran: 178

4. Al Ihlak mempunyai arti kebinasaan:

Allah berfirman: “Sampai ketika mereka bergembira dengan apa yang diberikan kepada mereka, maka Kami siksa mereka dengan cara yang mendadak”33. Allah berfirman: “Firaun dan bala tentaranya menyombongkan diri di permukaan bumi tanpa alasan yang dibenarkan, dan mereka mengira bahwa mereka tidak akan kembali kepada Kami, maka Kami menyiksanya dan bala tentaranya, kemudian Kami menenggelamkan mereka di dalam laut”34

33 Surah Al-‘Anam: 44

34 Surah Al-Qisas: 33

Dari ayat-ayat di atas, dapat kita simpulkan bahwa antara karamah dan istidraj ada perbezaan. Seorang yang diberi karamah tidak pernah merasa senang atas pemberian itu, bahkan ia makin bertambah takut kepada Allah, sebab ia takut kalau pemberian karamah itu merupakan ujian atau merupakan istidraj. Lain halnya dengan seorang yang diberi istidraj. Ia makin maharajalela, kerana ia mendapat anugerah dan ia pun tidak takut disiksa. Adapun kalau seseorang bergembira ketika ia diberi karamah, maka ia termasuk orang yang melanggar.

Namun kita akan menyentuh secara terperinci mengenai bab karamah ini dalam bab yang lain. Hanya sedikit yang ditampilkan disini demi untuk melihat kenapakah terjadinya kelebihan-kelebihan ghaibiah ini terhadap golongan yang mengamalkan amalan-amalan sihir ini. Sehingga mereka itu diyakini dan terjadinya pebuatan taksub kepada mereka, oleh orang lain atau golongan jin atau juga mereka sendiri merasa hairan dengan diri sendiri(riak). Disinilah permulaannya bagi perbuatan sihir itu berterusan dan terlihat ianya berguna kepada sesetengah golongan yang memilih jalan singkat dalam mendapatkan sesuatu hajat. (ianya terlebihlah kehendak kepada dengki dan khianat sesama makhluk)

Dalam perbuatan sihir-menyihir ini, ianya terjadi dalam dua bentuk. Ganguan yang bersifat rohani semata-mata, atau pun ganguan rohani dan jasmani.

Ganguan rohani:

Seperti dalam keadaan ini, jin itu diperintahkan untuk meresap kedalam jasad seseorang. Dan mengucar-kacirkan keseimbangan rohaninya yang mana ini akan menyebabkan rohaninya tidak lagi berfungsi dengan baik. Dan seterusnya ianya akan menyebabkan kemudharatan kepada jasmani , yaitu jasad atau badan mangsa. Dalam hal ini sebenarnya jin tidak boleh menyakitkan manusia dari luar. Seperti contohnya mencekik atau memukul manusia. Kerana itulah dia(jin) perlu merasuk atau meresap kedalam jasad. Kerana apa aku katakan demikian? Bukankah tugas yang diberikan kepada khadam(jin) tersebut adalah untuk memusnahkan orang yang disihir itu tadi? Jadi bukankah mudah baginya mencekiknya sahaja, atau menggigitnya sahaja. Sedangkan mangsa itu tidak nampak kepadanya. Dan dia(jin itu) sudah sangat mahir dalam pekerjaannya. Yang mana dia mungkin telah bertugas sebagai khadam bagi tukang-tukang sihir ini sejak dari turun temurun lagi. Namun masalahnya disini ialah, kemampuan itu tidak dimiliki oleh mereka, yaitu memudaratkan manusia secara terus(secara jasmani).

Dalam keadaan ini, dirasuk atau diresap oleh jin. Mangsa melaluinya dalam peringkat-peringkat tertentu. Boleh saja ianya berbentuk ganguan emosi, sedikit demi sedikit sehingga membuatkan kehidupan seseorang  itu tidak lagi terurus. Atau lebih melarat  ianya meracau-racau dalam tidur. Dan membawa kepada murung apabila ia terjaga. Kehilangan semangat dan sebagainya*. Aku tidak sepatutnya menyebut perkataan itu(*sebagainya) kerana keterangan mengenainya boleh dijelaskan dengan lebih terperinci.

Bergini. Apabila terjadi perkara yang sedemikian, kerasukan yang halus atau berat. Jin tersebut akan duduk dan tinggal didalam badan mangsa itu. Dan kurus tubuh jasadnya bukanlah kerana ia tiada lagi selera pada makanan. Tetapi dinyatakan sifat jin itu memakan zat-zat makanan yang manusia itu makan(jika tidak mendahulkan nama Allah dalam setiap perbuatan). Lantas disini secara ilmiahnya tubuh jasad si mangsa hanyalah memakan makanan yang kosong tiada berzat atau khasiat. Dan lama kelamaan jasad mangsa akan menjadi sangat lemah. Tetapi disini, dalam keadaan ini, sebenarnya rohanilah yang dirosakkan oleh jin tersebut terlebih dahulu. Tetapi ini tidak bisa terjadi kepada mereka-mereka yang telah mencapai peringkat-peringkat roh yang tertentu. Boleh rujuk kepada artikel aku yang terdahulu, maqam-maqam roh.

Ganguan rohani dan jasmani:

Perkara ini terjadi bergini. Seseorang tukang sihir itu mengerti sesuatu. Yaitu jin tidak boleh memudaratkan manusia secara terus. Jadi jin itu dihantar untuk meresap kedalam tubuh mangsa dan disisinya dibekalkan racun-racun tertentu yang berbahaya kepada jasmani. Seperti contohnya dahulu kala digunakan serbuk kaca atau miang buluh. Atau juga jarum-jarum yang sangat halus bagi menyakitkan tubuh badan seseorang yang disihirkan itu.

Seperti jin itu tadi, tugasnya adalah untuk merusakkan kesihatan rohani si mangsa. Dan racun-racun atau barangan yang berbisa yang bersifat jasmani atau nyata itu pula untuk menyakitkan tubuh badan mangsa. Inilah kejadian muntahkan darah dan berbagai-bagai lagi itu. Jin atau khadam itu tadi hanyalah membawanya dan menanamkannya(bahan-bahan tersebut) kedalam bahagian tertentu  tubuh jasad si mangsa.

Dan kaedah dan cara yang kedua inilah yang selalunya disalah ertikan oleh pengamal-pengamal perubatan tradisional. Yang mana mereka meletakkan sihir itu, yaitu ganguan rohani dan ganguan secara rohani dan jasmani itu boleh diubati dengan cara yang sama. Sebenarnya ia hanyalah boleh mengusir jin si tukang sihir itu. Dan juga boleh memaksa jin itu membawa(mengeluarkan) semula barang-barang beracun itu dari tubuh si mangsa. Dan ikhtiar pemulihan keatas rohani yang rosak itu juga boleh diikhtiarkan dengan cara rohani. Dengan amalan dan bacaan ayat-ayat Al-Quran(tertentu) atau zikir-zikir tertentu hitungannya. Atau juga dengan amalan-amalan ritual tertentu . Namun sebagai umat islam perlulah kita ingat dan mengerti  dalam memilih amalan tersebut, supaya kita tidak mengamalkan sesuatu amalan kurafat  yang menjurus kepada syirik kepada Allah.

Tetapi jasmani yang telah cedera itu(tiada kita nampak lukanya, kerana ianya dari dalam) perlulah kita ubati melalui cara jasmani juga. Perlu diberi ubat-ubatan, modern atau tradisional ianya tidak menjadi soal asalkan ianya bersesuaian dengan keperluan tubuh badan yang sakit itu. Perlu di bagi vitamin-vitamin, antibiotic dan sebagainya. Inilah yang selalunya terlepas pandang dan tidak dimengerti secara dalam oleh pengamal-pengamal perubatan tradisonal.

Sebenarnya artikel ini hanyalah berbentuk pengenalan dan keterangan dalam kejadian dan permasalahan yang berkaitan dengan sihir yang membabitkan jin ini. Semoga Allah mengurniakan aku kelapangan di masa akan datang untuk menyambungnya dalam bab yang lebih terperinci. Dari hal rawatan dan langkah-langkap yang perlu dilakukan oleh orang-orang yang mengalami masalah ini.  InsyaAllah.

Anda Mungkin berminat untuk membaca:
* Menarik duit dari alam jin
* Bagaimana masuk ke Alam Bunian
* Cara Masuk Kealam Bunian
* Jin dalam Pandangan aku
* Asal Kejadian Jin
* Apakah atau Siapakah Qarin

Add comment


Security code
Refresh