Doa Selamat Dari Belengu Hutang dan Doa Untuk Menghilangkan Kesedihan Kerana Banyak Hutang

Share

Kemusykilan:


Salam...terlebih dahulu saya minta maaf jika massage ini diajukan pada tempat yang salah. sebenarnya saya dah jadi bingung dengan nasib saya walaupun dalam masa yang sama saya masih tetap akui bahawa ada insan lain yang lebih teruk masalah mereka berbanding saya.


Masalahnya sekarang adalah saya ni dibebani hutang yang terlalu banyak. perkara ini terjadi dah hampir 10 tahun tapi nasih saya masih tak berubah. setiap usaha saya mesti diakhiri dengan penipuan yang mana saya yang perlu dipertanggungjawabkan atas semua sedangkan yang mendapat faedahnya pihak lain. Sebagai insan biasa saya dah cuba yang terbaik dalam mempraktikkan soal agama dalam kehidupan saya. saya amat risau bila terbaca sebuah hadis Rasullullah s.a.w yang ada mengatakan bahawa baginda tak mahu sembahyangkan jenazah orang berhutang.


Saya cukup takut sekiranya saya tak sempat untuk melangsaikannya. saya juga tak mahu menyusahkan anak isteri dlm hal ni sekiranya di takdirkan saya tiada lagi. pelbagai pendapat kawan-kawan saya dengar ada yang tak masuk di akal dan ada juga yang ok. saya harap akan mendapat sesuatu dari sini agar dapat menenangkan saya buat seketika. sekian terima kasih


Jawapan:


Dari Bukhari, Muslim, Tirmidhi dan Ibn Majah, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman( hadits Qudsi):

Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari anak.

Apa yang saya ingin kemukakan buat renungan kita bersama ialah. Setiap apa sahaja yang berlaku. Datanglah kepada Allah , mengadu kepadaNYA dalam bentuk yang IA sukai. Nescaya kita sebagai hambaNYA akan mendapat pertolongan daripadaNYA. Kerana yang demikian itu telah IA janjikan sejak dari azali lagi.

Marilah kita renungkan hadits yang dibawah ini pula

Daripada Abu Al-Abbas Abdullah bin Abbas r.a, beliau berkata:

“Pada suatu hari aku berada di belakang Rasulullah s.a.w, lalu baginda bersabda: “Wahai budak! Sesungguhnya aku ingin mengajarkan kepadamu beberapa kalimah: Peliharalah Allah, nescaya Dia akan memeliharamu. Peliharalah Allah, nescaya kamu akan mendapatiNya bersamamu. Apabila kamu meminta sesuatu, mintalah daripada Allah. Apabila kamu meminta pertolongan maka mintalah pertolongan daripada Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya jika seluruh manusia berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, mereka sekali-kali tidak akan dapat memberikan manfaat itu kepadamu, kecuali sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah untukmu. Dan sekiranya mereka berhimpun untuk mendatangkan sesuatu bencana ke atasmu, mereka tidak akan dapat mendatangkannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah ke atasmu. Telah diangkat kalam dan telah keringlah lembaran.” [Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, katanya: Hadis hasan sahih].


Dan seterusnya, perhatikanlah firman Allah dibawah ini:
“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” [QS. Ghafir: 60]


Sebenarnya kadang-kadang dalam melakukan sesuatu(doa) kita kekurangan kesabaran. Apa yang kita rasa ianya sudah cukup tertibnya, sudak cukup istiqomahnya. Tetapi tidak kita sedari ianya masih lagi belum sampai kepada ketentuan Allah yang mana IA akan memakhbulkan doa kita. Jadi bersabarlah.


Dan sesungguhnya Allah tidak membebankan dengan beban yang tidak sanggup dipikul oleh hamba-hambanya.


“Adakah sesiapa yang berdoa agar Aku perkenankan doanya. Adakah sesiapa yang meminta agar Aku tunaikan permintaannya. Adakah sesiapa yang memohon ampun agar Aku mengampuninya.”
(Sabda Nabi s.a.w diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).


Saudara:
Saya tidak bermaksud memandang remeh akan keadaan dan situasi emosi yang ditanggung oleh saudara. Tetapi percayalah, setiap yang Allah turunkan itu baik ianya berupa musibah atau kesusahan. Pastilah ada jalan penyelesaiannya. Dan yang paling penting, janganlah kita memilih laluan yang salah dalam menyelesaikan sesuatu kesulitan yang kita tanggung.


Disini saya ada sertakan amalan yang saya fikir sangat baik untuk diamalkan. Dan ianya bersesuaian dengan situasi saudara. Serta saya harap saudara dapatlah juga memanjangkan kepada orang lain insyaAllah.


Menurut sebuah hadis yang di riwayatkan oleh al-Tabrani dengan sanad yang jayyid dalam Bab Doa, Muaz r.a pernah mengadu kepada Nabi s.a.w. tentang hutangnya kepada seorang Yahudi, Nabi s.a.w. lantas mengajarnya membaca ayat ini.



[QS. Ali-Imraan: 26-27]


Maksudnya:


"26. Katakanlah: "Ya Allah yang memiliki kerajaan! Engkau berikan kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut (lenyapkan) kerajaan itu dari sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Di dalam tangan (kekuasaan) Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau berkuasa di atas segala sesuatu.


27. Engkau masukkan malam ke dalam siang (memperpanjang masa malam) dan Engkau masukkan siang ke dalam malam (memperpanjangkan pula masa siang). Engkau keluarkan yang hidup daripada yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati daripada yang hidup. Dan Engkau beri rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dengan tiada terkira."


Amalkan membaca ayat ini sebelum tidur. Mudah-mudahan mendapat jalan untuk menyelesaikan bebanan hutang.Di samping berdoa kita juga di suruh berusaha dengan apa cara sekalipun baik segi fizikal atau mental.Baik cara yang mudah atau pun susah. Berusaha la dengan yakin tapi jangan mengharap rezeki jatuh ke langit.


Saya juga adalah tergolong di dalam golongan orang yang mempunyai bebanan hutang yang banyak setelah perniagaan saya jatuh. Tapi Tuhan memberi kita akal untuk berikhtiar, sedang ikhtiar itu tidaklah satu jenis bentuk sahaja.

Keterangan ayat:
Perkataan “Allahumma” itu dalam bahas Arab berasal daripada perkataan Ya Allah. Hajat yang dikehendaki dalam ayat ini ialah, “Ya Allah dengan rahmat-Mu kasihanilah kami”. (Tafsir al-Samarqandi, tafsir ayat 26-27, surah ali-Imraan).
Khasiatnya:-


Amalkan ayat 26 - 27 sebelum tidur, mudah-mudahan Allah SWT membukakan jalan untuk menyelesaikan bebanan hutang.

 

Itu adalah amalan, supaya Allah memudahkan kita dari beban hutang yang kita tanggung.

Dan dibawah ini pula adalah Doa Untuk Menghilangkan Kesedihan Kerana Banyak Hutang

[QS. Al-‘A’raf : 54]


“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu bersemayam di atas ‘Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti), dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.”(Firman Allah swt di dalam Surah Al-A’raaf Ayat 54)


Semoga Allah memberi keberkatan dalam setiap amalan kita insyaAllah. Dan memberi kuasa dan daya-upaya keatas setiap kesulitan hutang yang kita tangung. amin.

Add comment


Security code
Refresh